top of page
Writer's pictureFaiz Adnan Partners

APAKAH ITU IDDAH ? APAKAH HIKMAH BERIDDAH MENURUT ISLAM?



Iddah ialah suatu tempoh tertentu yang ditetapkan oleh Syara’ ke atas wanita setelah berlaku perpisahan antara suami isteri.

Pengenalan:

Perceraian merupakan jalan yang telah diberikan oleh syara’ apabila berlakunya kemudaratan, syiqaq (persengketaan yang berpanjangan) dan sebab-sebab lain yang diharuskan syara’. Isteri yang telah diceraikan akan menjalani tempoh iddah yang bertujuan bagi mengetahui kebersihan rahimnya daripada mengandung atau sebagai suatu tempoh bertenang selepas kematian suaminya yang mempunyai hikmah yang lebih besar di sisi Allah.

  • Ia terbahagi kepada 2 iaitu Iddah Raj’ie iaitu iddah yang membolehkan bekas suami merujuk semula isterinya. Ia hanya untuk talak satu dan talak dua sahaja.

  • Yang kedua adalah Iddah Bain iaitu iddah yang tidak membolehkan bekas suami merujuk semula isterinya melainkan dengan akaq nikah yang baru. Ia merangkumi Talak Tiga, Lian, Fasakh, Khuluk (Tebus Talak), Ila’ dan Isteri yang belum disetubuhi.

Menurut Ulama:

  • Wahbah Zuhaili menyatakan iddah secara bahasa adalah menahan. Istilahnya daripada perkataan (Adad) (bilangan) yang berhubungan dengan beberapa quru’ dan beberapa bulan menurut kebiasaan.

  • Menurut Abd Rahman Al-Jaziri mendefinisikan iddah sebagai nama waktu untuk menanti kesucian seorang isteri yang ditinggal mati atau diceraikan oleh suaminya yang ketika tempoh tersebut tidak boleh berkahwin dengan lelaki lain.

  • Iddah ini adalah apabila berlaku persetubuhan (dukhul) di antara suami dan isteri dan sekiranya tidak berlaku persetubuhan maka tiada baginya tempoh iddah kecuali jika kematian suami.

Sebab-Sebab Diwajibkan Ber‘Iddah:

1.Perceraian sama ada dengan talak atau fasakh dengan syarat:

  • Berlaku persetubuhan

  • Suami itu orang yang mungkin dapat melakukan persetubuhan

  • Isteri itu wanita yang mungkin boleh melakukan persetubuhan

2. Wati' Syubhah

  • Iaitu persetubuhan yang berlaku dalam keadaan syubhah seperti persetubuhan yang berlaku dalam perkahwinan yang tidak sah (fasid) atau pihak lelaki menyangka perempuan yang di-wati’ (disetubuhi) itu isterinya sedangkan ia bukan isterinya.

3. Kematian suami

  • Perempuan yang kematian suami wajib ber’iddah walaupun ia belum pernah disetubuhi atau sedang dalam menjalani ‘iddah talak raj’ie (yang boleh dirujuk)


Tempoh Iddah

1. Tempoh iddah pertama : 3 kali suci daripada haid

  • Adalah bagi perempuan yang diceraikan oleh suaminnya dan telah disetebuhi oleh suaminya tetapi tidak mengandung. Juga bagi perempuan yang belum putus haid.

  • Surah Al Baqarah, ayat 228 yang bermaksud:

  • “Wanita-wanita yang ditalaq hendaklah menahan diri (menunggu) tiga kali quru. Tidak boleh mereka menyembunyikan apa yang diciptakan Allah dalam rahimnya, jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suaminya berhak merujukinya dalam masa menanti itu, jika mereka (para suami) itu menghendaki ...”

2. Tempoh iddah kedua: 3 bulan sahaja

  • Adalah bagi perempuan yang diceraikan oleh suaminya dan perempuan tersebut telah putus haid ataupun monopouse atau sudah tua atau dia tidak pernah mengalami darah haid.

  • Surah At Talaq, ayat 4 yang bermaksud:

  • "Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak haid".

3. Tempoh iddah ketiga: 4 bulan 10 hari

  • Adalah bagi perempuan yang kematian suami dan perempuan tersebut tidak mengandung.

  • Surah Al Baqarah, ayat 234 yang bermaksud:

  • “Orang-orang yang meninggal dunia di antaramu dengan meninggalkan isteri-isteri (hendaklah para isteri itu) menangguhkan dirinya (ber’iddah) empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah habis ‘iddahnya, maka tiada dosa bagimu (para wali) membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut. Allah mengetahui apa yang kamu perbuat”.

4. Tempoh iddah keempat : sehingga bersalin atau melahirkan anak.

  • Iaitu bagi perempuan yang diceraikan oleh suaminya sama ada cerai hidup atau bercerai mati dan ketika diceraikan, perempuan tersebut sedang mengandung.

  • Surah At Talaq, ayat 4 yang bermaksud:

  • Dan perempuan-perempuan yang hamil, waktu ‘iddah mereka itu ialah sampai mereka melahirkan kandungannya. Dan barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya”.

  • Sekiranya isteri diceraikan dalam keadaam tidak hamil, kemudian sebelum habis tiga kali suci, telah pasti berlaku hamil, maka isteri wajib meneruskan iddahnya sehingga bersalin atau keguguran. Tempoh iddah isteri mungkin menjadi pendek. Contohnya isteri yang diceraikan dalam keadaan hamil, kemudian melahirkan anaknya atau mengalami keguguran sejurus selepas diceraikan. Dalam keadaan ini, iddah isteri terus tamat serta merta.

5. Tempoh iddah kelima: tiada tempoh iddah.

  • Adalah bagi perempuan yang diceraikan tetapi belum pernah disetubuhi oleh suaminya.

  • Surah Al Ahzab, ayat 49 yang bermaksud:

  • “Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu menikahi perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu mencampurinya, maka sekali-kali tidak wajib atas mereka ‘iddah bagimu yang kamu minta menyempurnakannya. Maka berilah mereka mut’ah dan lepaskanlah mereka itu dengan cara yang sebaik-baiknya.”

As Sunnah

  • Riwayat Ahmad dan Daruqutni maksudnya: “Diriwayatkan daripada Ubai bin Kaab beliau berkata, aku telah berkata, wahai Rasulullah, isteri-isteri yang hamil ‘iddahnya sehingga melahirkan anak, adakah itu untuk seorang isteri yang ditalak tiga ataupun isteri yang kematian suami? Jawab Rasulullah: untuk isteri yang ditalak tiga dan juga isteri yang kematian suami”.

Ijmak

  • Para ulama’ mujtahidin sependapat bahawa ‘iddah adalah suatu hukum yang telah ditetapkan melalui Al Quran dan as Sunnah.

Hikmah Diwajibkan Beriddah

  • Untuk mengetahui seorang perempuan itu bersih rahimnya sehingga tidak bercampur antara suaminya dan suami kedua.

  • Memberikan tempoh bertenang kepada para suami mahupun isteri untuk menilai kesalahan masing-masing dan memperbetulkan keadaan untuk rujuk semula ketika dalam tempoh iddah isteri.

  • Untuk menyatakan kesedihan dan berkabung di atas kematian suami kerana isteri telah kehilangan tempat mengadu.

  • Sebagai suatu syariat daripada Allah SWT dan perlu dilaksanakan oleh hambaNya sebagai tanda ketaatam kepada Pencipta.

Kesimpulan

  • Tempoh iddah bagi seorang perempuan yang diceraikan adalah berlainan mengikut keadaan isteri ketika dia diceraikan seperti ketika dalam keadaan suci ataupun tidak, mengandung dan kematian suami. Tempoh iddah ini mempunyai hikmah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kepada hambaNya sebagai satu syariat yang wajib dipatuhi.

24,250 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page