SOALAN:
Saya Maria (bukan nama sebenar) dari Kajang, Selangor. Saya telah mendirikan rumah tangga selama lima tahun dan belum mempunyai cahaya mata. Di awal perkahwinan, saya dan suami sangat bahagia. Namun baru-baru ini suami mula menunjukkan sikap panas baran dan seringkali memarahi saya tanpa sebab yang munasabah. Kami seringkali bertengkar dan suami ada mengeluarkan kata-kata seperti “Abang taknak Maria dalam hidup abang lagi. Pergilah mana-mana Maria suka”. Namun pada sebelah malamnya suami berkelakuan seperti biasa dan minta saya untuk ‘bersama’ dengannya seolah-olah tiada apa yang berlaku di antara kami. Saya keliru dan ragu-ragu kerana ini bukan kali pertama suami melafazkan kata-kata sedemikian. Apabila saya bertanyakan tentang hal tersebut, beliau akan memarahi saya dan mengatakan beliau tidak sengaja. Persoalan yang menganggu fikiran saya disini, adakah hubungan kami masih sah sebagai suami dan isteri meskipun suami mengatakan bahawa dia tidak sengaja melafazkan kata-kata itu? Dan apakah tindakan sewajarnya yang perlu saya lakukan untuk memastikan perkahwinan kami masih sah? Saya khuatir seandainya hubungan saya dan suami tidak sah akibat daripada kata-kata yang telah dilafazkan suami Mohon penjelasan.
JAWAPAN:
Terima kasih Puan Maria atas soalan yang telah diajukan. Saya akan cuba bantu puan dengan menjawab persoalan di atas satu-persatu. Setelah saya meneliti permasalahan puan ini, saya melihat perkara yang menjadi kerisauan Puan adalah berkenaan dengan hubungan puan dengan suami sama ada masih sah sebagai suami isteri atau tidak akibat daripada kata-kata yang telah dilafazkan oleh suami Puan. Saya fikir, bukan Puan Maria sahaja mengalami masalah di atas. Malah masih banyak lagi pasangan suami isteri di luar sana yang keliru dan tidak faham berkenaan perkara ini. Saya berharap jawapan yang akan saya berikan ini dapat membantu puan dan pasangan-pasangan suami isteri diluar sana untuk memahami dengan lebih baik berkenaan hal ini.
Setelah melihat kepada kata-kata yang telah dilafazkan suami puan itu, saya dapati ianya merujuk kepada lafaz kinayah. Lafaz kinayah ini merupakan satu lafaz yang tidak jelas sama ada lafaz tersebut bermaksud cerai atau sebaliknya. Dalam erti kata lain, apa-apa lafaz yang berbentuk kinayah seperti:
“abang lepaskan kamu”
“pulanglah kamu pada keluargamu”
“kau bukan milikku lagi”
“Antara kita sudah tiada apa lagi”
atau apa-apa lafaz lain yang tidak jelas maksudnya perlulah dilihat kepada niat suami sama ada dia menceraikan puan atau tidak semasa ianya itu dilafazkan. Seandainya suami berniat menceraikan puan sewaktu kata-kata itu dilafazkan, maka gugurlah talak ke atas puan. Namun, seandainya kata-kata itu sekadar ingin memberikan amaran atau sengaja ingin menakutkan puan maka tidaklah gugur talak itu. Sedangkan ada juga lafaz yang berbentuk sorih iaitu (terang dan nyata) seperti “aku ceraikan kau dengan talak satu” yang jelas akan gugur talak ke atas isteri meskipun tanpa melihat kepada niat suami.
Perlulah diingatkan bahawa perkara ini tidak boleh dipandang ringan. Sekiranya timbul keraguan pada puan atau suami berkenaan lafaz tersebut, maka saya nasihatkan puan bersegeralah ke Mahkamah Rendah Syariah yang berbidangkuasa dan failkan permohonan pengesahan lafaz cerai. Hal ini sangat penting bagi menentukan sama ada talak sudah jatuh ataupun tidak dan juga berkenaan dengan bilangan jumlah talak yang telah jatuh. Ini kerana puan ada mengatakan suami sudah beberapa kali melafazkan kata-kata seperti itu. Jadi, apa yang dikhuatiri disini ialah bekenaan dengan bilangan talak yang telah dilafazkan oleh suami puan dan boleh jadi sekiranya talak itu merupakan talak ketiga, maka perhubungan antara suami isteri adalah dilarang.
Namun, masih ada masyarakat yang keliru tentang permohonan pengesahan lafaz cerai ini. Permohonan pengesahan lafaz cerai bukanlah satu permohonan untuk bercerai, tetapi permohonan ini adalah untuk mengesahkan sebarang lafaz cerai yang telah berlaku di luar mahkamah. Berikut merupakan perkara-perkara yang boleh puan ambil perhatian berkenaan dengan permohonan pengesahan lafaz cerai ini:
Suami atau isteri boleh pergi ke mahkamah syariah yang berdekatan dan memfailkan permohonan pergesahan lafaz cerai tersebut. Sebaiknya lantiklah peguam syarie yang bertauliah dan berpengalaman untuk bantu puan memfailkan dan mengendalikan kes ini di mahkamah.
Di dalam permohonan itu, perlulah dinyatakan tentang tarikh, masa dan cara lafaz cerai tersebut dibuat termasuklah bagaimana suami mengucapkan lafaz tersebut sama ada secara paksaan atau sukarela.
Perlulah dinyatakan kepada mahkamah sama ada terdapat saksi yang menyaksikan/mendengar lafaz tersebut semasa ianya diucapkan atau tidak. Seandainya suami tidak mahu hadir ke makamah maka saksi tersebut perlulah dibawa ke mahkamah untuk mengesahkan lafaz yang telah diungkapkan suami. Namun jika suami mengaku, tidak perlu bawa saksi tersebut ke mahkamah. Dalam konteks suami enggan hadir ke mahkamah setelah saman diterima secara kediri, maka dinasihatkan suatu waran tangkap dipohon untuk dikeluarkan oleh Hakim bicara.
Lafaz yang telah diungkapkan suami akan diperiksa mahkamah sama ada lafaz itu membawa niat menceraikan atau tidak.
Seandainya lafaz tersebut merupakan lafaz sorih, maka mahkamah boleh memutuskan jatuhnya talaq ke atas isteri meskipun suami menyatakan bahawa terdapat unsur main-main, paksaan atau gesaan. Perlulah diingatkan bahawa lafaz soreh ini tidak memerlukan kepada niat suami. Sekiranya lafaz tersebut hanyalah satu gurauan, talaq tetap akan jatuh.
Namun seandainya lafaz yang diungkapkan suami merupakan lafaz kinayah, maka hakim akan meneliti kepada niat suami tersebut sama ada dia berniat menceraikan atau tidak sewaktu lafaz tersebut dibuat. Mahkamah hanya akan melihat kepada pengakuan atau niat suami sewaktu lafaz tersebut dibuat. Seandainya suami sanggup mengangkat sumpah untuk menafikan niatnya, maka mahkamah boleh memutuskan atau menghukum berdasarkan kepada pengakuan dan sumpah syarie yang telah dibuat oleh suami tersebut. Bertepatan dengan satu kaedah fiqhiyyah yang ada menyebut :
المرء مؤاخذ بإقراره
Seseorang itu terikat oleh pengakuannya
Maka, sumpah ini tidak boleh dibuat main kerana ianya mengandungi lafaz suami rela dilaknat dunia dan akhirat sekiranya berbohong. Maka suami perlulah bercakap benar di hadapan Mahkamah Yang Mulia.
Terdapat juga kes dimana pihak suami enggan membuat permohonan pengesahan lafaz cerai, atau barangkali suami hilang atau melarikan diri, menafikan tentang lafaz yang telah dibuat atau apa-apa masalah yang melibatkan kepada keperluan saksi atau ketidakhadiran suami ke mahkamah. Jadi apa yang boleh saya nasihatkan disini ialah puan boleh merujuk, meminta sebarang pandangan atau pertolongan dari mana-mana khidmat bantuan guaman yang jelas lebih arif dalam menyelesaikan perkara-perkara tersebut. Ini kerana masalah ini mungkin akan melibatkan prosedur mahkamah yang rumit. Jadi, dengan adanya khidmat bantuan guaman ini diharapkan masalah puan dapat diselesaikan dengan mudah.
saya punya kes, adakah jatuh talak?, dimana suami nyata2 melafazkan perkataan cerai dalam setiap ayat percakapan nya seperti :
selagi kau tak tuntut cerai and aku tak bercerai dgn kau.. kau tu isteri aku - sebanyak 7 kali perkataan 'cerai' itu di sebut dlm keadaan marah dan sewenang2 nya.
Kau nak aku ceraikan kau talak berapa.. mintak laa! - 3 kali berturut-turut
Kalau kau dah rase aku ni tak layak jadi suami kau.. mintak je laa cerai - lebih dari 3kali.
Kau nak ceraikan? ko pegi laa bukak file! - berkali2 lafaz ini terutama ketika mabuk