top of page
Writer's pictureFaiz Adnan Partners

CERAI WHATSAPP PERLU KEPADA PENGESAHAN MAHKAMAH



Saya Maziah dari KL ingin bertanyakan satu soalan. Baru-baru ini, suami saya telah menulis di whatsapp “abang rasa lebih baik kita berpisah” kerana kami telah bergaduh pada waktu tersebut. Saya berasa kecewa dengan kata-kata suami saya tersebut dan terus tidak membalas whatsappnya yang seterusnya. Kami masih tinggal sebumbung, namun saya tidak lagi bercakap dengannya dan suami mengatakan bahawa dia tidak sengaja menulis sedemikian. Adakah lafaz tersebut sah?



Jawapan:


Terima kasih Puan Maziah atas soalan Puan. Saya melihat bahawa lafaz cerai melalui medium social seperti whats app ini adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan.


SAMA ADA LAFAZ TERSEBUT MEMBAWA MAKSUD PERCERAIAN?


Talak dari segi syarak ialah melepaskan ikatan pernikahan dengan menggunakan lafaz talak dan seumpamanya. Ulama’ berpendapat bahawa hukum asal talak adalah makruh dan seseorang suami tidak wajar menceraikan isterinya tanpa sebarang sebab.

Hukum ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah S.A.W. yang diriwayatkan oleh Umar R.A.

“Tidak satu yang dihalalkan oleh Allah tetapi dibenci lebih daripada perceraian” - (Riwayat Abu Daud)


Saya percaya bahawa suami Puan mungkin berasa tercabar dengan pergaduhan yang berlaku dan seterusnya melafazkan talak di medium whatsapp tersebut.


Terdapat dua jenis lafaz talak iaitu: -


i. Lafaz Sorih (lafaz secara jelas atau terang) – Gugur Talak


Lafaz sorih merujuk kepada lafaz yang jelas maksudnya untuk memutuskan ikatan perkahwinan. Contohnya, suami berkata kepada isterinya “Aku ceraikan engkau dengan talak satu” atau “mulai saat ini aku lepaskan engkau dari menjadi isteriku”. Kesan lafaz sarih amat jelas sekali kerana sekiranya ia dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada dengan niat untuk mencerai ataupun tidak ia tetap akan menggugurkan talak satu.


ii. Lafaz Kinayah (lafaz yang tidak jelas/sindiran) – Perlu mengetahui kepada niat


Ia merupakan lafaz yang boleh membawa maksud untuk penceraian dan sebaliknya. Di mana wujudnya keraguan pada maksud lafaz tersebut. seperti suami berkata kepada isteri, “Baliklah ke rumah mak bapak awak” atau “pergilah engkau dari sini”.

Contoh di atas boleh di tafsirkan dengan pelbagai maksud kerana ‘balik ke rumah’ dan ‘pergilah’ boleh membawa kepada pelbagai maksud bergantung kepada penerima orang yang mendengar. Justeru itu, Mahkamah akan melihat kepada niat suami semasa melafazkan kata-kata tersebut.



Berbalik kepada soalan Puan, lafaz “abang rasa kita kena berpisah” melalui medium Whats App tersebut merupakan satu bentuk lafaz kinayah yang mana ia perlu melihat kepada niat bagi lafaz tersebut. Lafaz tersebut hendaklah dirujuk atau dibuat pengesahan di Mahkamah.


Mahkamah akan menyoal suami berkaitan niat beliau menulis Whats App tersebut sebelum menjatuhkan sama ada lafaz tersebut sah atau tidak.


Saya berpendapat Puan hendaklah segera memfailkan kes Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah Syariah berdekatan dengan tempat tinggal Puan.


Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan atau persoalan, sila hubungi Peguam Syarie kami di talian 03-2202 1400.

393 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page