top of page
Writer's pictureFaiz Adnan Partners

DILEMA KAHWIN LARI DAN SOLUSI PERUNDANGAN SYARIAH


Soalan:


Assalamualaikum W.B.T.


Saya Yana (bukan nama sebenar) merupakan isteri kedua kepada suami saya. Kami telah bernikah pada 20 Disember tahun 2016. Akan tetapi pernikahan kami telah dibuat di Wilayah Narathiwat Selatan Thailand untuk mengelak diketahui isteri pertama suami. Saya telah menggunakan wali am dan saksi-saksi adalah kawan-kawan suami saya. Pernikahan kami masih belum didaftarkan di Malaysia. Malangnya suami saya telah meninggal dunia pada 1 Julai 2017 yang lalu. Saya kini keliru dengan status perkahwinan saya. Malah isteri pertama suami saya sudah dalam proses membuat tuntutan harta spencarian.


Soalan saya,

1) Adakah perkahwinan saya itu sah dan boleh didaftarkan?

2) Adakah kematian suami menjejaskan proses pengesahan nikah?

Yana

(Petaling Jaya)


· Jawapan:


PENDAHULUAN


Walaikumussalam W.B.T. Bismillahirrahmanirrahim.


1. Terima kasih Puan Yana atas soalan yang diberikan. Terdapat dua isu yang dapat dilihat di sini adalah sama ada perkahwinan puan di Narathiwat tersebut sah atau tidak dan sama ada kematian suami puan menjejaskan proses tuntutan pengesahan perkahwinan tersebut.


SAMA ADA PERKAHWINAN DI NARATHIWAT SAH ATAU TIDAK


2. Sebelum menjawab soalan Puan Yana, saya ingin menerangkan secara ringkas tentang kesahan nikah menurut hukum syarak. Menurut hukum syarak sesuatu pernikahan tersebut adalah sah apabila memenuhi kesemua rukun-rukun dan syarat-syarat tertentu. Rukun-rukun pernikahan yang perlu ada adalah pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi dan akad nikah (ijab & qabul). Kesemua rukun-rukun tersebut juga mestilah memenuhi syarat-syarat yang digariskan oleh syarak. Dalam konteks tidak ada seorang pun wali nasab, saya percaya puan boleh menggnakan wali am dalam perkahwinan tersebut. Oleh itu, saya percaya bahawa perkahwinan puan sememangnya telah sah di sisi agama Islam.


3. Oleh kerana puan tinggal di Petaling Jaya, saya akan merujuk kepada Undang-Undang yang terpakai di Negeri Selangor. Undang-undang mewajibkan sesuatu perkahwinan luar negara itu didaftarkan apabila telah disahkan oleh Mahkamah Syariah. Dari sudut undang-undang, pernikahan puan boleh didaftarkan jika kesemua rukun dan syarat terbukti telah dipenuhi. Hal ini adalah sebagaimana kehendak seksyen 12(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan“Walau apa pun subseksyen (1) dan tanpa menjejaskan subseksyen 40 (2), sesuatu perkahwinan yang telah diupacarakan berlawanan dengan mana-mana peruntukan Bahagian ini tetapi sebaliknya sah mengikut Hukum Syarak boleh didaftarkan di bawah Enakmen ini dengan perintah daripada Mahkamah.”


SAMA ADA KEMATIAN SUAMI MENJEJASKAN PROSES PENGESAHAN NIKAH


4. Dalam konteks tiada suami dalam permohonan pengesahan perkahwinan, puan masih boleh membuat pengesahan perkahwinan dengan permohonan secara sebelah pihak atau ex-parte dengan membuktikan bahawa suami puan telah meninggal dunia. Seterusnya, satu notis permohonan dan afidavit perlu difailkan di mana puan akan menjadi satu-satunya pemohon. Puan perlu membuktikan wujudnya perkahwinan yang telah berlaku dengan mendatangkan bukti-bukti kepada mahkamah. Adalah dinasihatkan agar puan melantik Peguam Syarie bagi membantu menyelesaikan kes puan agar proses dapat berjalan dengan lebih lancar dan cepat.


5. Antara keterangan dokumen lain yang penting untuk dikemukakan kepada Mahkamah adalah dokumen pernikahan dan pengesahan dari Jeneral Konsulat Malaysia di Songklha, salinan kad pengenalan kedua-dua pengantin, wali, dan saksi-saksi serta salinan pasport sebagai bukti keberadaan kesemua mereka di sana sewaktu pernikahan berlangsung. Jika ada bukti-bukti tambahan seperti gambar-gambar dan video ketika majlis di sana juga menjadi satu kelebihan.


6. Secara keseluruhannya, jika puan dapat membuktikan kesemua rukun dan syarat telah menepati kehendak syarak, saya percaya Mahkamah akan memberikan pengesahan terhadap pernikahan tersebut dan memerintahkan untuk didaftarkan oleh Pendaftar Nikah Cerai & Rujuk.


KESIMPULAN


7. Kesimpulannya, adalah dinasihatkan agar puan melantik Peguam Syarie untuk membantu puan menyelesaikan kes ini. Hal ini kerana Peguam Syarie bukan sahaja mempunyai pengalaman yang luas bahkan mempunyai ilmu dan kemahiran yang tinggi dalam menyelesaikan kes-kes seperti puan ini.


8. Permohonan ini hendaklah dibuat secepat mungkin bagi mengelakkan daripada tuntutan lain yang mungkin menjadi bertindan dengan tuntutan harta sepancarian isteri pertama suami puan.


9. Saya juga mengingatkan bahawa jika perkahwinan puan tidak didaftarkan, puan tidak akan dapat membuat apa-apa tuntutan berkenaan hak seorang isteri terhadap perkahwinan tersebut malah jika ada anak yang lahir maka ianya tidak dapat didaftarkan.

(Semoga artikel ini dapat membantu dalam menyelesaikan dilema dan masalah puan.)

217 views0 comments

Recent Posts

See All

Comments


bottom of page