SOALAN
Saya telah bercerai dengan suami saya pada bulan Julai 2017 yang lalu. Hasil perkahwinan kami selama 4 tahun telah memperoleh 2 cahaya mata masing-masing berumur 3 dan 2 tahun. Selepas bercerai, suami saya telah membawa anak-anak saya tinggal bersama beliau di rumah bekas ibu mertua. Saya langsung tidak diberi peluang untuk berjumpa dengan anak-anak bahkan pernah saya dihalau oleh keluarga mertua. Saya mengalami tekanan jiwa apatah lagi kedua-dua anak tersebut sangat manja dengan saya. Suami saya juga pernah menghantar pesanan ringkas (SMS) yang menyatakan hasratnya untuk membawa anak-anak ke luar negara supaya saya tidak lagi bertemu dengan anak-anak.
Soalan saya:
· Adakah saya boleh menuntut di mahkamah Syariah hak untuk menjaga anak-anak saya?
· Adakah mahkamah boleh mengeluarkan perintah untuk menghalang suami dari membawa anak-anak ke luar negara?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
Pn. Yusnita, 31.
(Setapak)
JAWAPAN
Terima kasih atas soalan yang diberikan.
Dua isu yang dapat saya simpulkan dari scenario puan berikan di atas adalah:
· Sama ada puan boleh menuntut hak hadhanah terhadap anak-anak puan.
· Sama ada puan boleh mendapatkan satu perintah tegahan (injunksi) terhadap anak-anak suapaya tidak dibawa lari oleh bekas suami ke luar negara.
IBU BERHAK POHON HAK HADHANAH
Puan mempunyai hak untuk menuntut hak jagaan ke atas kedua orang anak-anak tesebut. Bahkan puan sebagai ibu mempunyai hak yang lebih tinggi di sisi syarak dan undang-undang.
Seksyen 81, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, memperuntukkan berkenaan susunan penjaga seperti yang berikut:
(1) Tertakluk kepada seksyen 82, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan.
Begitu juga Hadith Rasulullah yang mendahulukan ibu dalam penjagaan kanak-kanak di mana seorang wanita datang kepada Rasulullah S.A.W. dan bertanya “Wahai Rasulullah sesungguhnya anak saya ini telah dikandung di dalam perut saya, buah dada saya boleh memberikan susu kepadanya dan ribaan saya boleh memberikan tempat perlindungan untuknya bapanya telah menceraikan saya dan mahu merampas anak ini daripada saya.” Lalu Rasulullah menjawab “Kamu adalah orang yang berhak selagi kamu belum berkahwin lain.”
Saya amat yakin dan percaya bahawa mahkamah akan memberikan hak jagaan anak kepada puan memandangkan puan belum lagi berkahwin lain. Puan hanya perlu membuat satu tuntutan hak penjagaan anak dengan memfailkan satu Saman dan Pernyataan Tuntutan. Pernyataan tuntutan tersebut hendaklah mengandungi bukti-bukti bahawa puan layak mendapat hak jagaan anak seperti yang disebutkan dibawah Seksyen 82 AUUKI (WWP) 1984 antaranya:
(a) puan adalah seorang Islam;
(b) puan adalah sempurna akal;
(c) puan berumur yang melayakkan puan memberikan jagaan dan kasih sayang kepada anak-anak itu;
(d) puan berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) puan tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.
Serta puan perlu meyakinkan mahkamah bahawa puan tidak pernah hilang kelayakan hak penjagaan sebagaimana disebutkan dibawah Seksyen 83 AUUKI(WWP) 1984 antaranya:
(a) puan tidak atau masih belum berkahwin lain;
(b) puan tidak pernah berkelakuan buruk;
(c) puan tidak pernah menukar pemastautinan puan untuk mencegah bapa dari menjenguk anak-anak,
(d) puan tidak pernah murtad;
(e) puan tidak pernah mengabaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.
Rapatnya hubungan puan dengan anak-anak tersebut juga akan menyebabkan mahkamah memberi hak jagaan tersebut. Hal ini disebut di dalam Seksyen 86 AUUKI menyebutkan bahawa dalam memutuskan penjagaan anak mahkamah hendaklah juga memberi perhatian kepada tidak baiknya mengacau kehidupan seseorang kanak-kanak dengan bertukar-tukarnya jagaan. Apatah lagi anak-anak tersebut sudah bersama dengan puan sejak kecil lagi.
Oleh itu puan hendaklah secepatnya memfailkan tuntutan tersebut agar anak-anak tersebut boleh kembali bersama dengan puan apatah lagi mereka sangat rapat dengan puan. Walaubagaimanapun saya nasihatkan agar puan melantik peguam untuk mewakili pihak puan memandangkan peguam mempunyai kemahiran dan pengalaman yang banyak tentang prosedur mahkamah yang rumit dan panjang.
PERINTAH INJUKSI MENGHALANG ANAK DILARIKAN KELUAR NEGARA
Dalam situasi puan, saya percaya puan boleh membuat permohonan kepada mahkamah untuk mendapatkan satu perintah interim injunksi secara ex-parte dibawah seksyen 105 AUUKI (WWP) 1984. Seksyen tersebut memperuntukkan bahawa mahkamah bolehmengeluarkan suatu injunksi menahan pihak suami puan daripada membawa anak itu keluar dari Malaysia sehinggalah kes induk hadhanah puan selesai.
Untuk mendapatkan perintah injunksi tersebut, elemen keterdesakan mestilah dibuktikan. Screenshot perbualan antara puan dan suami puan melalui aplikasi SMS yang menunjukkan keinginan suami puan membawa lari anak-anak ke luar negara amatlah diperlukan dalam membantu meyakinkan mahkamah bahawa elemen keterdesakan itu telah wujud.
Puan hendaklah memasukkan fakta-fakta tersebut ke dalam affidavit keterangan puan. Saya juga mencadangkan dalam perintah yang dipohon tersebut dipohon kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkenaan agar perjalanan Responden dan anak-anak disenararihitamkan buat sementara sehingga kes induk selesai. Hal ini demi menjamin perlaksanaan terhadap perintah injunksi tersebut dapat dikuatkuasakan secara menyeluruh.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, saya percaya puan lebih berhak diberikan hak jagaan terhadap anak-anak tersebut memandangkan kepada kelayakan puan, usia mereka yang masih kecil dan rapatnya hubungan mereka dengan puan. Saya menasihati puan untuk menggunakan khidmat peguam dalam membantu puan melalui proses permohonan tersebut kerana melibatkan beberapa prosedur yang rumit dan panjang.
(Diharap artikel ini dapat membantu menyelesaikan masalah puan)
Disediakan Oleh : Amirul Hafizin Bin Othman
Comments