Ramai pelanggan mahkamah dalam kalangan orang awam keliru sama ada perlu atau tidak perlu untuk melantik Peguam Syarie. Tak kurang ramai yang tertanya bilakah perlu melantik Peguam Syarie? Adakah Peguam Syarie hanya perlu dilantik semasa perbicaraan atau semasa penghujahan? Penulis merasa terpanggil untuk berkongsikan beberapa keadaan yang perlu diwakili Peguam Syarie dalam kes di mahkamah. Melantik Peguam Syarie adalah perlu dalam beberapa keadaan berikut:
1) Apabila Melibatkan Prosedur Mahkamah Yang Rumit.
Prosedur mahkamah bukanlah sesuatu yang mudah difahami oleh orang awam. Setiap kes mempunyai prosedur yang berbeza-beza antara satu sama lain. Seorang peguam syarie yang berpengalaman pasti sudah mengetahui prosedur dan tatacara mahkamah syariah bagi setiap kes.
Oleh itu, melantik peguam syarie adalah penting untuk memastikan keteraturan dari aspek prosedur seterusnya melancarkan perjalanan kes di mahkamah dan keputusan hukuman boleh dibuat dengan segera.
2) Apabila Melibatkan Isu Undang-Undang Yang Rumit.
Sesetengah kes amat memerlukan pemahaman undang-undang yang mendalam terutama ketika membuat rayuan terhadap suatu keputusan, pastinya akan melibatkan isu undang-undang yang rumit. Inilah tujuan utama profesyen peguam syarie diwujudkan iaitu untuk membantu Mahkamah menyelesaikan kes-kes yang melibatkan isu undang-undang yang rumit dengan membuat kajian perundangan (‘legal research’) dalam bidang yang didalami oleh setiap Peguam Syarie. Legal research akan dimasukkan ke dalam hujah semasa sesi penghujahan untuk membantu mahkamah membuat keputusan.
Hal ini bertepatan dengan penjelasan Syaikh Mohd Abu Zuhrah berkenaan tugas peguam syarie “ialah seorang yang alim tentang undang-undang, yang mampu mencari kebenaran pihak yang benar dan menolak kepalsuan pihak yang bersalah, bersandarkan kepada ilmunya mengikut kehendak undang-undang dalam menegakkan hak dan kewajipan dan pengekalan dan pengukuhan kepada kebebasan awam”.
Oleh itu melantik peguam syarie dalam keadaan ini adalah amat perlu untuk memastikan keadilan sewajarnya terhadap hak atau tuntutan yang dibuat apatah lagi mustahil seorang Hakim tahu seluruh hukum syarak dan prosedur perundangan dalam undang-undang Islam yang teramat luas konteksnya.
3) Apabila Melibatkan Hukum Syarak Yang Mendalam.
Di mahkamah syariah, selain undang-undang sebagai rujukan, hukum syarak juga menjadi rujukan terpenting bagi hakim dalam menjatuhkan hukuman atau membuat apa-apa keputusan kepada apa-apa tuntutan. Konteks hukum syarak yang luas, fleksibel dan bermazhab telah menjadi satu rahmat agar hakim dapat mencari satu keputusan yang paling adil kepada sesuatu kes berdasarkan kepada prinsip maslahah.
Oleh itu, peguam syarie yang berkepakaran dalam hukum syarak dapat membantu mahkamah untuk mengkaji hukum yang paling sesuai dan adil untuk digunapakai dalam memutuskan sesuatu kes. Oleh itu keputusan yang dibuat akan memberi keadilan kepada pihak-pihak dalam kes tersebut.
4) Apabila Melibatkan Isu Pembuktian Yang Rumit.
Di mahkamah syariah, penggunaan qarinah misalnya membantu mahkamah dalam membuktikan sesuatu perkara atau isu. Qarinah ini ada kalanya kuat dan ada kalanya lemah menyebabkan mahkamah tidak boleh menerima qarinah sewenang-wenangnya. Oleh itu, perlu melantik peguam syarie supaya dapat meyakinkan mahkamah dan membuktikan bahawa qarinah yang dikemukakan adalah sahih. Tindakan ini akan mempercepat proses perbicaraan dan melicinkan perjalanan mahkamah.
Pembuktian kes ada kalanya menjadi sangat sukar, sehingga kepakaran seorang peguam syarie amat diperlukan bagi memastikan bukti-bukti yang dibawa adalah bukti-bukti yang tepat dan dapat membantu mahkamah membuat keputusan. Dalam satu kes di mana seorang perempuan telah mendakwa seorang pemuda cuba mencabul kehormatannya dan menjatuhkan maruahnya. Perempuan itu telah membawa bukti kesan air mani di tubuh dan kainnya. Lalu Khalifah Umar menjatuhkan hukuman keseksaan kepada pemuda itu. Pemuda itu telah merayu kepada Khalifah Umar r.a. dan berkata “Wahai Amir al-Mu’minin, pastikanlah kebenaran kes saya ini. Demi Allah SWT saya tidak melakukannya, sebenarnya dialah yang telah cuba memperdaya saya.”
Mendengar keterangan pemuda itu, Khalifah Umar telah meminta pendapat Sayyidina Ali. Sayyidina Ali r.a. memerhatikan kesan cecair yang ada di kain perempuan itu, lalu diambil air mendidih dan disiramnya. Cecair tersebut menjadi beku dan putih. Beliau mendapati rasanya seperti putih telur. Sayyidina Ali r.a. mengherdik perempuan itu. Akhirnya perempuan itu mengaku perbuatan tipu dayanya.
Kisah tersebut membuktikan bahawa kepakaran seorang peguam syarie dalam mendatangkan bukti yang baik adalah sangat penting untuk membantu mahkamah membuat suatu keputusan yang tepat dan adil dalam sesuatu kes.
5) Apabila Mempunyai Masalah Pertuturan, Malu Dan Kegugupan.
Untuk hakim memahami kehendak tuntutan atau dakwaan sesuatu pihak, hakim hendaklah dapat mendengar dan memahami dengan jelas keinginan pihak itu melalui lisan atau penulisan. Begitu juga semasa perbicaraan, keterangan pihak-pihak secara lisan amat penting disampaikan kepada hakim dengan terang dan jelas. Jika tidak, sudah tentu hakim tidak dapat meneruskan kes kerana langsung tidak dapat memahami butir-butir percakapan pihak itu dan apa yang diinginkan.
Di akhir kes, kebiasaannya hakim akan meminta pihak-pihak menghujahkan tuntutan masing-masing. Pada waktu inilah kepetahan bercakap amat penting untuk menarik minat hakim memenangkan pihak yang berkeinginan itu. Walaupun kepetahan tidak menjamin kemenangan, tetapi ianya perlu untuk meraih simpati dan perhatian hakim.
Dalam satu kisah diriwayatkan oleh al-Kusyairi , aduan telah dibuat kepada Hakim Ahmad bin Baqiy oleh dua prang lelaki. Beliau melihat kepada seorang daripadanya dan mendapati percakapannya baik, dan ditoleh kepada seorang lagi, hakim tidak memahami akan pertuturannya, tetapi mata orang itu memperlihatkan kebaikan dan kebenaran. Maka diseru kepada orang itu “Wahai kamu, sekiranya boleh carilah orang lain yang dapat bercakap bagi pihakmu dan aku dapati kawanmu itu lebih memahami apa yang dicakapkannya”.
Selain itu, perasaan malu juga boleh menyukarkan mahkamah memutuskan sesuatu hukuman dengan tepat dan adil. Contohnya, malu untuk menceritakan hal-hal berkaitan rumahtangga dan hal kelamin kerana takut membuka aib keluarga & pasangan.
Terdapat satu kisah di zaman umar al-Khattab r.a. seorang isteri telah datang mengadu kepada Khalifah Umar al-Khattab r.a., “Wahai Amir al-Mukminin, aku tidak pernah lihat lelaki yang lebih baik daripada suamiku. Dia berjaga sepanjang malam, berpuasa sepanjang siang (walaupun cuaca panas), dia tidak berbuka puasa.” Umar r.a. setelah mendengar kata-kata perempuan itu beliau berdo’a: “Keampunan kepada Allah SWT kerana perempuan ini mendapat suami seperti itu.” Mendengar kata-kata Umar r.a., Ka’ab bin Thur al-Azdi yang berada di sisi Umar r.a. pada ketika itu berkata “Sesungguhnya perempuan itu membuat pengaduan mengenai suaminya, tuan.” Umar r.a. terkejut lalu bertanya, “Benarkah demikian”? Jawab Ka’ab, “Ya”. Lalu Umar memanggil perempuan itu dan berkata “Tiada apa yang perlu dimalukan. Katakanlah perkara yang sebenarnya.” Lalu Ka’ab bertanya kepada perempuan itu, “Sebenarnya kamu ingin membuat pengaduan tentang suami kamu yang tidak memberikan nafkah batin kepada kamu. Benarkah?” lalu perempuan itu menjawab, “Benar, wahai Umar.”
Dapat dilihat dari kisah diatas Ka’ab terlah bertindak menjadi peguam mewakili perempuan itu dalam menceritakan perkara sulit dan bersifat peribadi tentang dirinya dan suami. Jelaslah bahawa adalah satu kepentingan untuk melantik seorang peguam syarie bagi membantu dalam menjelaskan perkara-perkara yang aib, memalukan dan disegani untuk diceritakan kepada hakim.
6) Bila Pihak Yang Satu Lagi Telah Melantik Peguam.
Antara tujuan peguam adalah untuk mengimbangi pihak-pihak di hadapan hakim terutama apabila salah seorang daripada mereka lebih pintar dan lebih pandai berkata-kata. Apabila pihak yang satu lagi telah melantik peguam adalah perlu untuk pihak yang satu lagi melantik peguam juga demi memastikan keseimbangan di hadapan hakim.
Di mahkamah syariah kebiasaannya hakim akan memerintahkan agar pihak-pihak diwakili peguam terutama jika pihak yang satu lagi telah melantik peguam. Melantik peguam pada pandangan seorang hakim amat penting terutama kepada seorang perempuan yang menentang suaminya. Kerana kebiasaannya wanita akan menjadi gerun berhadapan dengan suaminya apatah lagi hakim juga seorang lelaki. Oleh itu, perlu melantik peguam syarie dalam keadaan sedemikian untuk mengimbangi pihak-pihak di hadapan hakim.
7) Kerjaya Yang Sangat Memerlukan Komitmen Yang Tinggi
Apabila sesuatu kes difailkan tanpa peguam syarie, semua tarikh yang ditetapkan selepas itu wajib dengan kehadiran pihak itu secara sendiri (dan tidak boleh diwakilkan kepada orang lain). Jika tidak hadir, mahkamah boleh menangguh kes tersebut menyebabkan ianya lambat selesai. Bahkan jika ketidakhadiran itu tidak disertakan dengan notis atau surat kepada mahkamah, kes itu boleh dibuang oleh hakim.
Oleh itu, dengan melantik peguam syarie, peguam syarie tersebut boleh memohon untuk kehadiran anda dikecualikan selepas sebutan kes yang pertama. Oleh itu, hanya peguam syarie sahaja perlu datang bagi pihak anda untuk setiap tarikh pengurusan kes. Kehadiran anda hanya diperlukan semula di Mahkamah semasa perbicaraan dan semasa keputusan.
KESIMPULAN
Kesimpulannya, walaupun melantik Peguam Syarie hanya perlu dalam keadaan-keadaan yang telah disebutkan di atas, tetapi amatlah digalakkan untuk melantik peguam syarie bagi mewakili anda dalam sesuatu kes. Hal ini kerana peguam syarie adalah seorang yang terlatih dalam mengendalikan kes-kes syariah berdasarkan ilmu pengetahuan mereka yang mendalam tentang undang-undang dan hukum syarak serta berpengalaman luas tentang setiap prosedur-prosedur yang perlu dipatuhi di mahkamah syariah.
Tak perlu peguam kalau mutual separation. Nak duit lebih saja...