SOALAN
Assalamualaukum W.B.T.
Nama saya Shahir dari Putrajaya, Kuala Lumpur. Saya telah berkahwin dengan isteri saya selama hampir 5 tahun. Walaubagaimanapun, kami masih belum mempunyai cahaya mata. Keluarga saya terutama ibu kandung saya selalu mendesak saya untuk berkahwin lain kerana terlalu menginginkan cucu memandangkan saya merupakan seorang anak tunggal. Saya menjadi sangat tertekan sehinggakan seringkali terjadi pertengkaran kecil antara saya dan isteri saya. Saya berhasrat untuk berkahwin lagi untuk mendapatkan zuriat. Tetapi kawan saya mengatakan saya perlu mendapat kebenaran isteri terlebih dahulu.
Soalan saya,
1) Apakah kemandulan isteri membolehkan saya berpoligami?
2) Adakah saya memerlukan kebenaran isteri untuk berpoligami?
(Shahir, Putrajaya.)
JAWAPAN
Wa’alaikumussalam W.B.T..
1. Terima kasih atas soalan tuan, Isu yang dapat saya simpulkan daripada soalan tuan di atas adalah;
1) Sama ada kemandulan isteri menjadi penyebab boleh berpoligami; dan,
2) Sama ada kebenaran isteri perlu untuk berpoligami.
2. Sebelum saya menjawab soalan tuan, perlu saya jelaskan bahawa keharusan poligami dalam agama Islam adalah satu keharusan bersyarat.
3. Hal ini kerana asbab nuzul ayat 3 surah al-Nisa’ yang merupakan dalil keharusan poligami turun selepas perang Uhud yang menyebabkan ramai lelaki yang syahid dan ramai wanita menjadi janda dan anak gadis tidak berbapa. Oleh itu dibolehkan berpoligami ketika itu untuk menjamin keadilan, kebajikan dan kesejahteraan janda-janda dan anak gadis yatim tersebut. Begitu juga sunnah Nabi berkahwin ramai tidak boleh dijadikan alasan mudah untuk berpoligami kerana perbuatan Nabi berpoligami adalah berdasarkan kepentingan tertentu dan bukannya bersifat peribadi.
4. Pandangan ini turut disokong oleh ilmuan Islam seperti Syeikh Muhammad Abduh dalam karangannya Tafsir al-Manar Juzuk 4 Cetakan Dar al-Manar halaman 349 yang menyebutkan poligami adalah praktikal kepada generasi awal Islam tetapi tidak kepada generasi sekarang kerana penyalahgunaan dan penindasan terhadap wanita telah banyak berlaku. Hal ini bertepatan dengan kehendak ayat 3 surah al-Nisa’ yang memberi penegasan mengenai keadilan suami terhadap isteri-isterinya dalam perkahwinan poligami.
5. Selaras dengan kehendak syarak inilah Undang-Undang Keluarga Islam setiap negeri di Malaysia juga telah memperuntukkan beberapa syarat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu permohonan poligami itu dibenarkan. Oleh kerana tuan tinggal di Putrajaya saya akan merujuk kepada peruntukan yang ada di Wilayah Persekutuan.
6. Menurut Seksyen 23(4), Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, terdapat empat elemen yang perlu dibuktikan kepada mahkamah untuk mendapat kebenaran poligami antaranya;
Perkahwinan Itu Patut Atau Perlu
7. Tuan perlulah mendapatkan bukti perubatan yang menunjukkan bahawa isteri tuan mempunyai masalah kemandulan. Ini boleh meyakinkan mahkamah bahawa poligami adalah perlu sebagai alternatif mendapatkan zuriat. Apatah lagi jika diteruskan semestinya perkahwinan sedia ada boleh mendatangkan mudharat dan boleh hilangnya rasa kasih sayang.
8. Saya percaya jika tuan mampu meyakinkan mahkamah bahawa isteri tuan tidak boleh melahirkan zuriat, mahkamah boleh mempertimbangkan untuk membenarkan permohonan ini atas sebab perkahwinan poligami itu patut atau perlu.
Kemampuan Suami
9. Selain itu, tuan hendaklah membuktikan secara spesifik bahawa tuan adalah seorang yang berkemampuan untuk menanggung nafkah isteri dan anak-anak yang sedia ada serta isteri dan anak-anak yang bakal dikahwini. Dokumen-dokumen seperti slip gaji bulanan dan/atau wang simpanan hendaklah dikemukakan bagi membuktikan kemampuan menanggung nafkah isteri sedia ada dan isteri yang bakal dikahwini serta tanggungannya.
10. Dalam kes Rajmah Lwn Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah Selangor telah menolak permohonan poligami kerana suami telah gagal untuk membuktikan kemampuan kewangannya untuk berpoligami. Oleh itu amat penting untuk meyakinkan kepada mahkamah bahawa tuan mampu menanggung nafkah isteri sedia ada dan yang bakal dikahwini serta tanggungannya.
Suami Mampu Berlaku Adil Terhadap Kedua-Dua Isteri
11. Mahkamah juga akan meneliti keterangan Isteri sedia ada selaku Defenden sama ada tuan seorang yang mampu berlaku adil. Saksi-saksi dalam kalangan keluarga terdekat juga boleh dibawa bagi membuktikan tuan mampu berlaku adil terhadap isteri yang akan dikahwini. Ianya lebih kepada usaha untuk meyakinkan hakim supaya perintah yang bakal diputuskan itu adil bukan sahaja untuk tuan tetapi juga bagi isteri sedia ada dan anak-anak serta bakal isteri.
Tidak Mendatangkan Darar Syarie Kepada Isteri
12. Tuan juga perlu meyakinkan mahkamah bahawa perkahwinan dengan isteri kedua tidak akan menyebabkan sebarang keburukan atau kerosakan kepada perkahwinan sedia ada.
13. Selain itu, bakal isteri dan wali kepada bakal isteri akan juga dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu hakim bicara untuk mengadili kes ini.
KEBENARAN ISTERI TIDAK PERLU
14. Oleh itu, kebenaran isteri sedia ada bukanlah satu kewajipan untuk mendapat kebenaran Mahkamah Syariah. Namun, mahkamah kebiasaannya akan memanggil dan mendengar pandangan isteri sedia ada untuk mengetahui sama ada tuan boleh berlaku adil dalam perkahwinan dengan isteri baru.
15. Keterangan isteri sedia ada perlu demi keadilan kepada isteri pertama supaya tidak berlaku penganiayaan terhadap isteri pertama tersebut dari sudut nafkah diri, nafkah anak sedia ada dan lain-lain. Bahkan isteri pertama akan diberi peluang untuk membuktikan segala keterangannya sama ada menyokong atau membantah permohonan tersebut.
KESIMPULAN
16.Secara keseluruhannya, kemandulan isteri antara faktor Mahkamah boleh mempertimbangkan dan membenarkan permohonan poligami dan kebenaran isteri bukanlah sesuatu yang perlu dalam sesuatu permohonan poligami.
17.Saya nasihatkan agar tuan melantik Peguam Syarie yang bertauliah dan berpengalaman luas untuk membantu tuan sepanjang proses permohonan ini. Hal ini adalah kerana bukanlah mudah untuk mengendalikan kes sebegini sendirian apatah lagi ini adalah kali pertama tuan berhadapan dengan hakim yang arif dalam bidang ini tambahan lagi prosedur yang spesifik dan begitu terperinci serta Defendan yang merupakan isteri tuan sendiri. Sebaik-baiknya seperti kata pepatah “Kalau menarik rambut dalam tepung, rambut takkan putus dan tepung pula tak bertaburan.”
Selamat berpoligami dan diharap jawapan saya ini sebagai “eye opener” untuk tuan.
Comments