Assalamualaikum W.B.T.,
Baru-baru ini ada yang bertanya kepada saya jika seseorang telah disabitkan bersalah dan dihukum dengan dendan serta penjara, adakah boleh memohon agar hukuman yang dikenakan oleh Mahkamah Syariah dapat diringankan?
Perlu dijelaskan bahawa bidangkuasa Mahkamah Syariah antara lain boleh menjatuhkan hukuman maksima tiga (3) tahun penjara, RM5000.00 ringgit atau enam (6) kali sebatan atau gabungan dari mana-mana dua atau tiga pilihan itu. Hukuman juga tertakluk kepada takat hukuman yang diperuntukkan bagi setiap satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah. Boleh saya katakan berdasarkan pengalaman saya, hukuman penjara adalah hukuman yang berat memandangkan ianya akan memberi kesan kepada masa hadapan, kerjaya dan tanggungan pesalah.
Kembali kepada persoalan utama kita, rayuan peringanan hukuman boleh dibuat dalam dua (2) keadaan. Insyaallah saya akan menjelaskan satu persatu di bawah. Semoga memberi manfaat kepada pembaca sekalian.
Dua keadaan di mana rayuan meringankan hukuman boleh dibuat, inter-alia:
1. SEMASA PROSES MITIGASI
Kebiasaannya setelah selesai Pengakuan Bersalah (Plead Guilty) dibuat oleh Tertuduh, Mahkamah sebelum menjatuhkan hukuman akan membenarkan Pesalah untuk membuat rayuan untuk meringankan hukuman. Sepanjang pengalaman saya, pada waktu ini, amat jarang sekali Pesalah menggunakan peluang ini untuk meraih simpati Mahkamah bagi mengurangkan hukuman.
Jika ada yang menggunakan peluang ini, masih tidak semaksimum mungkin, bahkan kadang-kadang langsung tidak membantu Pesalah untuk mendapat keringanan hukuman.
Antara perkara yang boleh dibangkitkan dan memberi merit untuk meringankan hukuman sesuatu kesalahan jenayah Syariah adalah seperti berikut:
Pengakuan Salah
Ramai yang tidak tahu bahawa pengakuan salah sahaja telah berjaya membantu untuk mengurangkan kos dan menjimatkan masa Mahkamah dan pihak Pendakwaan. secara tidak langsung, hal ini membantu menjimatkan dana / wang Rakyat Negeri itu sendiri yang kemudiannya boleh digunakan untuk tujuan lain seperti pembangunan dan sebagainya.
Perkara ini amat jarang dititikberatkan oleh Pesalah malah amat jarang sekali disentuh sehingga menyebabkan hukuman tidak dapat dikurangkan oleh Mahkamah. Walaubagaimanapun hal ini hanya boleh dibangkitkan oleh tertuduh yang mengaku bersalah sahaja sama ada di awal atau di pertengahan prosiding perbicaraan. Jika tertuduh tidak pernah mengaku bersalah sehingga disabitkan kesalahan, isu ini tentu memakan diri dan acap kali Pihak Pendakwa menggunakannya untuk tujuan pemberatan hukuman pula.
Taubat / Tidak Mengulangi Kesalahan
Benar bahawa taubat seseorang hamba hanya antara Allah dan diri orang itu semata-mata. Namun demikian, kesesalan dan keikhlasan untuk tidak mengulangi kesalahan yang terpancar dari wajah dan kelakuan Pesalah itulah yang diambil kira oleh Mahkamah untuk memberikan keringanan kepada Pesalah.
Hal ini kerana, jika hukuman itu memberikan kesedaran dan kekesalan dalam diri Pesalah, maka tercapailah okjektif Undang-Undang menetapkan hukuman itu iaitu untuk mendidik (ta'dib) Pesalah dan menghalang masyarakat daripada membuat kesalahan yang sama.
Pesalah Kali Pertama
Amat banyak sekali kes-kes yang telah diputuskan memberi peringanan kepada Pesalah Kali Pertama, malangnya sedikit sahaja Pesalah yang menggunakan isu ini untuk mendapatkan peringanan hukuman. Faktor ini boleh membantu meringankan sehingga 1/3 daripada hukuman maksima yang diperuntukkan bagi sesuatu kesalahan jenayah. Dalam kes P.P. lwn. Oo Leng Swee [1888] 1, S.L.J. oleh kerana Respondan telah mengaku bersalah dan merupakan pesalah pertama, Hakim yang membicarakannya telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup, bukan hukuman mati mandatori seperti yang termaktub di bawah Akta Dadah Merbahaya (Contoh yang diberikan bukanlah kes Syariah, namun konteksnya masih boleh digunapakai dalam kes Jenayah Syariah).
Pendapatan / Kerjaya
Jika sesuatu hukuman berbentuk denda, dan denda itu sangat tinggi serta membebankan kewangan Pesalah, atau jika hukuman berbentuk penjara yang akan menutup pintu rezeki Pesalah kerana bakal dibuang kerja dan sebagainya, maka pesalah boleh merayu daripada Mahkamah untuk mengurangkan jumlah dendan kepada yang mampu dibayar oleh Pesalah, atau diberi dalam bentuk bayaran beransur atau jika hukuman penjara dikenakan maka Pesalah boleh meminta untuk tidak dipenjarakan memandangkan akan menyebabkan Pesalah dibuang kerja dan sebagainya.
Tanggungan yang berada dibawah Pesalah
Jika Pesalah merupakan seorang ayah atau ibu tunggal atau menjadi harapan/sandaran utama kepada sumber kewangan keluarga, maka Pesalah boleh merayu untuk tidak dikenakan denda yang terlalu tinggi atau penjara kerana akan menyebabkan kesulitan dan kesukaran kepada keluarga Pesalah.
2. RAYUAN (MITIGASI) JENAYAH
Sebaik sahaja Pesalah dijatuhkan hukuman di atas kesalahnnya, maka tidak ada yang boleh dirayu lagi kecuali membawa kes tersebut ke Mahkamah yang lebih Tinggi. Jika Mahkamah yang menjatuhkan hukuman adalah Mahkamah Rendah maka boleh dirayu ke Mahkamah Tinggi, jika Mahkamah yang menjatuhkan hukuman adalah Mahkamah Tinggi maka boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan.
Di peringkat ini biasanya amat memerlukan kepakaran seorang Peguam Syarie kerana terlalu banyak step-by-step yang perlu dilakukan sehinggalah sidang rayuan menjatuhkan keputusan. Selain itu, di peringkat ini hanya isu undang-undang yang berkepentingan awam sahaja boleh dibangkitkan dan masyarakat umumnya tidak memahami terma ini memandangkan ianya adalah kepakaran Peguam Syarie.
Oleh itu dinasihatkan untuk melantik peguam syarie dengan kadar segera, sebaik-baiknya dalam masa 24 jam selepas keputusan dikeluarkan. Ini kerana perintah yang telah dikeluarkan hendaklah digantung terlebih dahulu dalam masa terdekat barulah kes boleh diteruskan ke peringkat Rayuan.
Tuan/Puan boleh terus menghubungi saya di talian 011-16987913 untuk sebarang pertanyaan berkaitan artikel ini dengan cara Call/SMS/Whatsapp
(Artikel ini ditulis oleh Amirul Hafizin Bin Othman, Peguam Syarie yang aktif beramal di Wilayah Persektuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan)
Comments